Simpulan bahasa merupakan ungkapan yang telah mantap dan mempunyai maksud yang khusus. Simpulan bahasa adalah kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi, bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan.

Ia mempunyai maksud yang berbeza daripada makna harfiah kata-kata dalam ungkapan.

Harfiah bermaksud 1. perkataan demi perkataan (bkn terjemahan dsb): teks itu diterjemahkan secara ~; 2. makna tersurat atau selapis yg dapat difahami secara mudah dan jelas (drpd sesuatu tulisan), literal; keharfiahan perihal harfiah.

Ciri-ciri Simpulan Bahasa:

  • Terbentuk daripada penggunaan kata nama am - anak buah, anak emas, buah tangan, lipas kudung.
  • Terbentuk daripada penggunaan kata kerja - ajak-ajak ayam, buat bodoh, pasang telinga,cakar ayam
  • Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif - besar kepala, bodoh sepat,kecil hati, berat hati.
  • Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas - Abu Jahal,Mat Jenin,Pak Kaduk.
  • Terbentuk daripada nilai kepercayaan - air pinang, batu buyung, makan bulan.
SIMPULAN BAHASA MAKSUD
Panjang tangan Suka mencuri
Periuk nasi Punca pencarian
Buruk siku Sudah diberi, diambil balik
Ikat perut Berjimat makan dan minum
Kaki bangku Tidak tahu bermain misalnya bola

Namun, Menurut Za'aba, terhasilnya simpulan bahasa adalah dengan berdasarkan empat perkara iaitu:

  • Daripada perbandingan atau kiasan dengan cerita yang masyhur
    Contoh: Abu Jahal, Mat Jenin, Lebai Malang dan sebagainya.
  • Daripada benda atau kejadian yang berlaku di sekelilingnya
    Contoh: mandi kerbau, mata duitan, kutu embun dan sebagainya.
  • Daripada kepercayaan orang ramai
    Contoh: harimau berantai, buruk siku, dimakan bulan dan sebagainya.
  • Daripada kebiasaan atau resaman bahasa.
    Contoh: ada hati, gila bahasa, beri muka dan sebagainya.